SEJARAH SEKOLAH

LATAR BELAKANG SEKOLAH

Sekolah ini telah dibina pada 20 Oktober 1951. Nama asalnya ialah Sekolah Rakyat Sempang 4 Parit Jamil. Ia dibina daripada papan dan tiang balai yang disumbangkan oleh penduduk kampung di sini. Bangunan ini berlantaikan simen dan beratapkan zink. Sekolah ini dibina di atas sekeping tanah seluas satu ekar yang didermakan oleh Penghulu Hj. Muhammad bin Hj. Hassan.

Pada tahun 1953, nama sekolah ini telah ditukar kepada Sekolah Melayu Sempang 4 Parit Jamil, kemudian bertukar pula kepada Sekolah Umum Sempang 4 Parit Jamil dan akhir sekali ia bertukar kepada Sekolah Kebangsaan Simpang 4, Parit Jamil.

Tidak lama selepas pembinaan bangunan Sekolah Rakyat Sempang 4 Parit Jamil siap, Kementerian Pelajaran telah mengambil alih pentadbiran sekolah ini dan pada 26 Ogos 1961 diserahkan terus kepada Jabatan Pelajaran Negeri Johor.

Pada tahun 1978, Kementerian Pelajaran Malaysia telah membina sebuah bangunan baru mengandungi 3 bilik darjah, bilik guru besar, pejabat serta tandas dan menyediakan bekalan air dengan anggaran RM 29, OOO. Pada 1 Julai 1980 kerja pembinaan sekolah ini siap dan pihak JKR telah menyerahkan bangunan ini kepada Pengelola Sekolah Daerah Muar dan seterusnya kepada Guru Besar sekolah ini pada 27 Ogos 1980.

Akhirnya pada 10 Januari 1981, bangunan sekolah lama telah dirobohkan. Empat tahun kemudian pada 11 Julai 1984 barulah sekolah ini mendapat bekalan elektrik.

Guru yang pertama mengajar di sekolah ini ialah En. Mohammad bin Othman dan bilangan murid ketika itu ialah 31 orang. Pada tahun 2012, sekolah ini telah mempunyai 13 orang guru, 6 kelas dengan bilangan muridnya 107 orang termasuk murid pra sekolah.    

**********************************************************************************

ENTRI SEMASA